CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Click here for Myspace Layouts

Panduan Ibu Bapa Dalam Membimbing Remaja

* Didik diri anda dengan perkembangan anak-anak sebaik memasuki alam remaja. Pelajari kelakuan dan tindak-tanduk yang biasa bagi remaja, perubahan fizikal, biologi, emosi dan mental yang berlaku serta kesannya dan cara membantu anak remaja anda menangani perubahan tersebut.

* Kenangi semula zaman remaja anda; perasaan yang berubah-ubah (mood swing), kemarahan terhadap pihak yang memegang kuasa (seperti ibu bapa, guru-guru dan sebagainya), kebimbangan dan harapan anda. Lihat pula tingkah-laku anak remaja anda dari sudut memori tersebut supaya anda dapat memahami perspektif mereka.

* Daftarlah untuk kursus kemahiran keibubapaan yang berkesan. Keibubapaan adalah satu kemahiran yang perlu dipelajari dan ia tidak datang sendiri. Belajarlah juga daripada ibu bapa lain yang berpengalaman dalam mendidik remaja yang berjaya.

* Dengarlah dan kurangkan bercakap. Anak remaja anda telah menghabiskan sebahagian besar masa kanak-kanak mereka sebagai pendengar dalam kebanyakan situasi. Ketika remaja inilah mereka mahu dan perlukan peluang untuk didengar dan berkongsi perasaan dan pendapat mereka. Mereka mula menyemak semula pegangan keluarga, adat tradisi dan agama yang sesuai dengan kehendak identiti mereka.

* Didiklah anak remaja anda tentang asam garam kehidupan, dan kemanisan dan kepahitan menyelesaikan masalah agar mereka tahu menikmati kegembiraan dan menangani perkara yang buruk. Sedarkan remaja bahawa hidup ini tidak seindah mimpi. Jangan dibuai remaja dengan harapan semuanya mudah dan indah kerana ini akan menyebabkan remaja kecewa dengan realiti kehidupan. Jangan sempitkan ruang lingkup pilihan yang ada. Misalnya, meminta anak belajar dengan rajin sekiranya ingin menjadi seorang doktor. Realitinya ramai juga remaja yang pintar yang tidak mendapat kursus pilihan masing-masing kerana persaingan yang sengit.

* Gunakan kaedah ‘peneguhan positif’ (positive reinforcement) untuk tingkah-laku yang positif sekiranya munasabah; ia jauh lebih berkesan daripada kritikan (atau kutukan) dan hukuman terhadap tingkah-laku yang negatif. Peneguhan positif diberi dalam bentuk pujian, penghargaan, hadiah istimewa atau pergi melancong misalnya. Perkataan yang memperkecilkan keupayaan dan kebolehan mereka boleh menyebabkan kecederaan kepada penghargaan kendiri (self-esteem) remaja. Perkakas yang paling berguna dalam mendidik remaja ialah kasih sayang, belas ihsan, kepekaan, sanjungan, memahami dan komunikasi yang telus dan tulus.

* Didik anak remaja anda bahawa hak-hak dan tanggungjawab berjalan seiringan. Berikan tanggungjawab sedikit demi sedikit kepada anak remaja anda dengan tujuan melatihnya seperti tanggungjawab menjaga keselamatan dirinya dan ahli keluarga yang lain. Beri peluang kepada remaja untuk membantu kerja-kerja di rumah dan terlibat dengan proses perbincangan bagi mencapai sesuatu keputusan dalam keluarga.

Dapatkan pandangan remaja dan bantu mereka agar memahami proses bagaimana sesuatu keputusan dicapai. Berikan situasi di mana remaja diuji dengan kemahiran membuat keputusan dengan sokongan orang dewasa di sekelilingnya. Jangan kritik remaja sekiranya keputusan yang diambilnya tidak tepat atau tidak seperti yang diingini. Sebaliknya tunjukkan bahawa anda memahami dan berikan bantuan yang diperlukan. Dengan ini, remaja akan belajar membuat keputusan-keputusan yang penting dalam hidup mereka seperti keputusan samada hendak merokok atau tidak, hendak belajar atau tidak dan sebagainya.

* Bantu remaja agar tidak terlalu bergantung kepada orang di sekitarnya seperti ibu bapa atau abang dan kakaknya. Keperluan remaja untuk memanifestasikan ‘kebebasan’ dan kematangan mereka mungkin berlaku pada masa yang berbeza dan melalui wadah yang berbeza. Kadangkala sukar bagi ibu bapa untuk membiarkan remaja melakukan keputusan bersendirian kerana risaukan keselamatan mereka. Walau bagaimanapun, keupayaan remaja menangani tanggungjawab yang semakin bertambah akan meningkat sekiranya ibu bapa mampu memberikan sokongan kepada pilihan yang mereka buat dan menjadikan remaja bersedia menghadapi cabaran yang menanti.

* Berikan peluang kepada anak-anak untuk terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan. Golongan muda sebenarnya sedang mencari-cari ruang untuk diri mereka di dalam dunia ini. Melibatkan remaja dalam aktiviti komuniti dan masalah masyarakat akan mengalihkan perhatian mereka terhadap diri sendiri dan menolong mereka membangunkan kemahiran sosial mereka dengan perasaan ‘dipunyai’ (belonging) di samping memperkasakan remaja dalam menyelesaikan masalah masyarakat. Bantu anak remaja yang bersekolah asrama untuk menyertai kelab-kelab remaja seperti Kelab Remaja JIM (KRJ) atau program dakwah yang lain ketika cuti sekolah. Adakan program ziarah kampung, memberi bantuan kepada fakir miskin dan sebagainya yang boleh mengajar remaja tentang realiti kehidupan selain mengelakkan remaja terlibat dalam gejala sosial.

* Luangkan masa dari segi kualiti dan kuantiti terhadap anak remaja anda. Tidak ada istilah ‘masa berkualiti’. Untuk mendapatkan kualiti dalam perhubungan, kuantiti masa juga adalah kritikal. Zaman remaja inilah biasanya anak remaja anda semakin jauh daripada keluarga dengan meluangkan lebih banyak masa di sekolah, dengan rakan sebaya ataupun sudah bekerja. Ibu bapa yang prihatin akan sentiasa meluangkan masa dengan anak remaja mereka kerana inilah kunci kepada kesejahteraan perkembangan emosi dan sosial remaja.

Ambil peluang ketika remaja berada di rumah, sewaktu makan malam, solat berjemaah di rumah atau surau serta menonton televisyen bersama untuk mengukuhkan hubungan anda dengan remaja. Ambil tahu apakah minatnya dan hobinya serta terlibat dengan minat tersebut. Ini boleh membantu mengukuhkan sokongan anda terhadapnya serta memberi gambaran kepada anda tentang alam remajanya.

* Ada ketikanya ibu bapa merasa kecewa, marah, sedih atau putus asa terhadap anak remaja mereka. Terimalah perasaan anda itu. Menjadi ibu bapa yang baik tidak semestinya mesti segalanya sempurna. Tunjukkan bahawa anda mampu meminta maaf kepada remaja sekiranya anda telah terkasar dengan mereka. Ini akan menjadi contoh kepada remaja bahawa manusia juga melakukan kesilapan dan bermaaf-maafan adalah suatu cara dalam memulihkan semula perhubungan yang retak oleh tekanan dan ketidaksefahaman.

* Dapatkan bantuan dan panduan untuk diri anda dalam menangani perubahan pada diri anak remaja anda. Lihat tanda-tanda berlakunya krisis dan berbincanglah dengan ibu bapa lain atau dapatkan bantuan pakar. Dengan ini, ibu bapa boleh memahami apakah yang normal atau tidak normal pada seseorang remaja.

* Kebanyakan remaja mempunyai masalah pada suatu masa tertentu. Ini ditunjukkan dengan tingkah-laku memberontak secara tiba-tiba dan adalah normal kepada remaja. Janganlah ibu bapa pula merasa malu di atas sikap remaja. Jangan pula anggap bahawa setiap tingkah-laku anak-anak mencerminkan kualiti keibubapaan anda. Anda sudah lakukan yang terbaik dan berusahalah agar tingkah-laku negatif remaja tidak berpanjangan dan dibaiki segera.

* Jangan paksa remaja menyelesaikan masalah mereka dengan drastik. Remaja juga perlukan masa dan sokongan untuk membantu menyelesaikan masalah mereka. Misalnya, berikan masa kepada remaja untuk membuang tabiat merokok dengan mendedahkan semua maklumat yang perlu dan memberi bantuan profesional kepadanya. Tunjukkan sokongan anda dan tidak berputus asa dengan mereka.

* Sediakan peluang untuk mereka membesar dan mengharungi zaman remaja dengan tindakan dan maklum balas yang positif. Berkongsi dengan anak remaja tentang harapan anda terhadapnya, pelajarannya dan masa hadapannya. Muhasabah tentang peranan mereka dan minta mereka muhasabah diri anda sebagai ibu bapa. Sediakan peluang untuk mereka mengasah bakat dan minat mereka serta mempertajamkan kemahiran mereka di samping memperkembangkan jati diri dan daya saing.

(ni aku copy and paste at internet ye,,)